Skuad bola jaring negara menggunakan pendekatan berlatih dalam keseronokan dalam misi mereka mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Kapten pasukan negara, Nursyafazliyana Mohd Ali, berkata skuad kebangsaan dalam proses mempelajari taktikal baru bagi menghadapi lawan dan pastinya melalui saat sukar.

"Memang kami cuba untuk 'enjoy the training' (seronok menjalani latihan) sebab kami hendak belajar benda baru. Kami tidak mahu guna benda lama seperti 2017 lagi ketika menghadapi lawan.

"Kami hendak belajar benda baru. Kalau susah, kami tidak mahu tertekan. Kalau pun tertekan, kami akan kongsi bersama dan akan buat keadaan tertekan itu kepada sesuatu yang menyeronokkan," katanya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Mengulas mengenai keupayaan pasukan lawan, Nursyafazliyana berkata pemain negara tidak mahu memandang rendah kemampuan negara lain memandangkan dalam tempoh dua tahun ini, prestasi pesaing tentunya turut meningkat.

"Memang orang kata, kami akan bertemu lagi dalam final dengan pasukan Singapura. Namun, kami tidak boleh memandang rendah pasukan negara lain kerana kita tidak tahu dalam jangka masa setahun atau dua tahun ini, prestasi mereka meningkat atau sebaliknya.

"Buat masa ini, pendekatan yang kami buat, selepas Kejohanan Dunia berakhir semalam, kami menganalisis sendiri permainan Singapura dan daripada situ belajar strategi yang perlu digunakan untuk mengalahkan mereka," katanya.

Untuk rekod, skuad bola jaring negara menamatkan kemarau 16 tahun tanpa emas di peringkat Asia Tenggara di depan penyokong sendiri dua tahun lalu dengan menewaskan musuh tradisi, Singapura, 65-41.

Kali terakhir Malaysia meraih emas sebelum itu ialah di Kuala Lumpur pada 2001.

-- BERNAMA