Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sudah bersedia untuk dijadikan salah satu hub bagi beberapa venue acara Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur.

Pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) mengadakan lawatan ke MITEC hari ini untuk meninjau perkembangan lokasi venue pertandingan.

Bangunan bernilai RM268 juta yang terletak di Jalan Dutamas itu bakal menjadi venue kepada lapan acara Sukan SEA pada 19-31 Ogos, dan tujuh acara Sukan Para ASEAN, 17-23 September nanti.

Terbahagi kepada tiga tingkat, MITEC dilengkapi dengan 11 dewan besar dan mampu menempatkan anggaran 76,000 orang dalam satu masa.

"MITEC dari sudut pembinaan sudah siap, cuma kerja-kerja akhir memerlukan perincian. Kami yakin apabila menjelang temasya kelak, semua kerja-kerja berkaitan dengan Sukan SEA akan siap sepenuhnya," kata Kata Ketua Pegawai Operasi Sukan SEA Kuala Lumpur, Saiful Subhan.

Selain venue pertandingan, MITEC juga akan menjadi Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) dan juga Pusat Media Utama (MPC).

Sementara itu, tiga lagi lokasi Sukan SEA di ibu kota adalah di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan juga Putrajaya.

"Venue ini akan diuji sepenuhnya pada pertengahan tahun. Dari situ, kami dapat mengenal pasti setiap kekurangan yang masih perlu dipertingkatkan."