Ketiadaan acara perseorangan dalam Sukan SEA Filipina tidak melunturkan keyakinan atlet petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud, terhadap kemampuan skuad negara untuk menjadi penyumbang emas dalam temasya dwi-tahunan tersebut dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Kali pertama Hafizuddin melakar sejarah buat sukan petanque negara adalah dalam Sukan SEA Singapura 2015 yang menyaksikannya menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia selepas muncul juara perseorangan lelaki.

Atlet kelahiran Kota Bharu, Kelantan, itu meneruskan aksi cemerlangnya dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan mempertahankan gelaran juara perseorangan apabila mengalahkan lawan dari Thailand, Kiatkong Tanong, dalam aksi final.

Walaupun edisi Sukan SEA tahun ini tiada acara individu dipertandingkan, Hafizuddin yakin dia mampu meraih pingat emas melalui acara lain.

"Sasaran saya masih sama, ingin menyumbangkan emas buat Malaysia.

"Tetapi itu bukan satu masalah kerana saya masih berpeluang untuk menyumbang emas di samping rakan-rakan yang lain.

"Thailand masih merupakan pencabar paling kuat tetapi itu bukan masalah kerana kami pernah berdepan mereka," katanya.

Skuad petanque negara kembali mempertaruhkan sentuhan dua bekas jurulatih, Syed Ali Syed Akil dan Zanilisa Mohamed, yang membimbing pasukan petanque dalam edisi 2015 dan 2017 sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan SEA 2019.

Dalam temasya Kuala Lumpur 2017, skuad petanque negara secara keseluruhannya meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.