Ketua jurulatih baru menembak negara, Park Sang Soon, menjadikan Kejohanan Air Gun Asia 2016 di Iran sebagai platform pertama dirinya untuk mengenali barisan penembak negara dengan lebih dekat selepas seminggu memulakan tugas.

Bekas ketua jurulatih Korea Selatan itu tiba di Malaysia seminggu lalu bagi menggalas tanggungjawab baru di Malaysia bersama skuad menembak negara.

Meskipun pernah menjadi jurulatih di Malaysia pada tahun 2000, Sang Soon tetap menganggap tugas baru kali ini lebih mencabar untuknya jika dibandingkan dengan 16 tahun lalu.

Maka, kejohanan di Iran nanti akan memberi peluang kepadanya untuk meneliti tahap dan gaya penembak negara dengan lebih baik.

"Kejohanan di Iran adalah pentas buat saya menilai penembak negara sebelum kami menghadapi Sukan SEA tahun hadapan," jelas beliau.

Mengikat kontrak selama dua tahun, jurulatih yang fasih berbahasa Melayu itu perlu membuktikan tahap kemampuannya mengendalikan penembak negara dengan misi meraih kejayaan di pentas Sukan SEA tahun hadapan.

"Kami menyasarkan pungutan pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Namun, yang pertama sekali, kami perlu mengharungi cabaran dalam Sukan SEA. Oleh itu, kami perlu menampilkan prestasi yang bagus dalam sesi latihan."