Pemangku Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negeri (MSN), Jefri Ngadirin, mendedahkan MSN akan mempersiapkan atlet untuk menyertai kesemua acara yang bakal dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia bakal bergantung kepada barisan atlet dari Program Kita Juara.

Program yang diasaskan khusus untuk menghadapi sukan dwitahunan itu kini memasuki fasa tahap dua apabila sudah pun menyenaraikan seramai 879 atlet untuk menjadi sebahagian program itu.

Sebagai tuan rumah, Malaysia akan memastikan setiap acara akan mempunyai wakil negara.

"Kita akan mengambil bahagian dalam semua acara yang dipertandingkan memandangkan kita adalah tuan rumah.

"Kita beranggapan perlu menggunakan kesempatan ini untuk memberi pendedahan kepada atlet-atlet muda walaupun mereka tidak layak, tetapi mereka boleh diberi pendedahan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2019 nanti," ujar Jefri.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan mempertandingkan sebanyak 405 acara dari 38 jenis sukan.

Jefri juga optimis barisan atlet Program Kita Juara sedia ada akan bertambah menjelang fasa ketiga pada bulan Mac nanti.

"Pihak persatuan diberi peluang dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan untuk mencadangkan atlet-atlet terbaik mereka selain daripada atlet Program Kita Juara.

"Kemungkinan untuk atlet-atlet negara yang di luar program untuk diserapkan dalam Program Kita Juara tetap ada sekiranya prestasi mereka menyerlah sehingga Mac nanti."