Ketua jurulatih memanah Korea Selatan, Mun Hyong Chul, membayangkan Malaysia mampu membolot lima pingat emas Sukan SEA Kuala Kumpur 2017, Ogos depan, selepas menamatkan program latihan selama tiga minggu di Bukit Jalil.

Hyong Chul selaku ketua jurulatih kebangsaan Korea membawa Kelab Memanah Yeachun berlatih di Malaysia.

Pengendali itu memiliki reputasi besar selepas membantu Korea membolot kesemua empat pingat emas dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Selepas menghabiskan tempoh tiga minggu, Hyong Chul berpendapat pemanah negara memiliki reputasi besar untuk kekal sebagai gergasi rantau Asia Tenggara.

"Kami datang ke sini di atas jemputan Malaysia.

"Saya lihat pemanah Malaysia masih lagi yang terbaik di Asia Tenggara apabila mendapat banyak bantuan daripada pihak kerajaan.

"Saya fikir mereka tiada masalah untuk mencabar rantau ini," katanya.

Turut menyertai kem latihan ini ialah pemenang emas recurve wanita Olimpik Beijing 2008, Yun Ok Hee.

Kedua-dua pasukan turut mengadakan dua aksi persahabatan yang dimenangi pemanah Korea.

Apa yang penting, ia dapat membantu persiapan Malaysia untuk menghadapi aksi pembukaan 2017, iaitu Grand Prix Asia di India, hujung bulan ini.

"Kemahiran asas mereka adalah lebih kurang sama dengan kita," ujar jurulatih kebangsaan, Lee Jae-hyung.

"Jurulatih mereka tidak berapa menyentuh teknik asas kerana lebih menekankan prestasi atlet.

"Dari situ, kita dapat lihat teknik mereka tidak mempunyai masalah besar," kata pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, pula.