Penampilan pertama bukanlah alasan untuk tidak meletakkan sasaran pingat, kata perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafly, yang bertekad untuk mengharumkan nama negara dalam Sukan Paralimpik Tokyo, tahun depan.

Nur Syaiful, yang berasal dari Sarawak, layak ke temasya itu selepas melakukan catatan 1 minit 16.27 saat dalam acara 100 meter gaya bebas S5 Kejohanan Renang Siri Dunia Para di Singapura, minggu lalu.

Walaupun akan melakukan penampilan pertama dalam Sukan Paralimpik, Syaiful tidak gentar untuk meletakkan sasaran pingat.

"Ia tidak terkata kerana setiap atlet pasti mengimpikan untuk layak ke temasya itu.

"Saya menyasarkan untuk sekurang-kurangnya meraih satu pingat, terutama dalam acara 50m (gaya bebas)," katanya.

Nur Syaiful kini berada di ranking keempat dunia dalam acara 100m gaya bebas S5 selain turut menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik acara 50m.

Dia kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Kejohanan Dunia di London, September depan.

Selain Nur Syaiful, turut melayakkan diri ke Tokyo ialah perenang veteran, Jamery Siga.