Pemanah recurve para negara, Ahmad Jaffry Jamaluddin, tidak rela pulang dengan tangan kosong dalam Sukan Para ASEAN di Filipina, Mac ini.

Dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, pemanah itu gagal menepati sasaran untuk meraih pingat dalam acara individu di laman sendiri.

Kekecewaan itu berterusan dalam Sukan Para Asia di Indonesia pada 2018 apabila Ahmad Jaffry sekali lagi pulang hampa tanpa sebarang pingat.

Justeru, dia tidak mahu kekecewaan itu berulang.

"Dalam dua tahun ini, saya agak bergelut tetapi sudah melakukan persiapan untuk ke Manila," katanya.

Selain Ahmad Jaffry, skuad memanah negara turut dibarisi juara dunia acara recurve, S. Suresh, dan pemanah senior, Hasihin Sanawi, dalam temasya dwitahunan di Filipina itu.

Mereka akan membentuk gandingan bagi membutirkan pingat selepas gagal melakukannya di Kuala Lumpur sebelum ini.

"Apa yang sudah lepas, saya menjadikannya sebagai satu pengajaran untuk bersiap ke Manila.

"Saya kira ia sebagai pembakar semangat untuk saya mendapatkan sesuatu di sana," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa