Timbalan chef-de-mission (CDM) negara dalam Sukan Asia 2018, Dr. P. Vellanpandian, menganggap jumlah pegawai perubatan ke Jakarta dan Palembang memadai selaras dengan keupayaan kontinjen Malaysia yang terbesar dalam sejarah penyertaan temasya berkenaan.

Dr Vellanpandian tiba bersama pasukan perubatan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, semalam.

Lapan pegawai perubatan berada dalam kumpulan pertama ini yang terdiri daripada Majlis Sukan Negara (MSN). Jumlah keseluruhan ini juga terdiri daripada pakar sains sukan menerusi Institut Sukan Negara (ISN), iaitu membabitkan 46 orang.

Mereka akan dibahagikan kepada empat kumpulan, iaitu dua di Jakarta serta masing-masing satu di Palembang serta Bandung mengikut jumlah sukan.

"Temasya besar seperti ini akan mendapat sokongan penuh daripada kami baik di Jakarta, Palembang dan juga Bandung.

"Di Bandung nanti, pegawai perubatan akan bersama-sama pasukan (kontinjen yang bertanding).

"Banyak kerja yang perlu dilakukan seperti persediaan," kata timbalan ketua kontinjen itu.

Dalam pada itu, Dr. Vellanpandian turut berpuas hati dengan kelancaran proses ketibaan atlet yang tidak mengambil masa terlalu lama untuk mereka bergerak ke perkampungan sukan.

Lantaran itu, beliau berpandangan tiada masalah besar buat kumpulan seterusnya kecuali mengambil sikap lebih berjaga-jaga terhadap barangan yang dibawa.

"Di sini, pihak penganjur menyediakan ruang yang amat selesa kepada atlet-atlet kita.

"Kaunter untuk mengesahkan akreditasi juga disediakan di lapangan terbang.

"Bagasi kami juga tiba dengan sempurna kecuali ada satu kes, iaitu beg pecah.

"Kami sudah membuat laporan dan tindakan sudahpun diambil," katanya lagi.