Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan mengurangkan tempoh perguruan Datuk Nicol Ann David di Amsterdam bermula tahun depan untuk memastikan dia mendapat bantuan kepakaran Program Podium dalam misi untuk merampas semula ranking pertama dunia.

Ia sesuatu yang agak janggal untuk melihat Nicol ditimpa kekalahan demi kekalahan.

Terbaru, dia tewas di tangan pemain Mesir, Reneem El Weleily, dalam suku akhir Terbuka Amerika Syarikat, sekaligus menyaksikan ia menjadi tamparan hebat untuknya dalam kalendar jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), musim ini.

SRAM sedang merangka strategi kebangkitan Nicol dan salah satunya ialah dengan mengurangkan tempoh latihannya di Amsterdam.

"Staf sokongan di sini dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) adalah yang terbaik dan sangat membantu.

"Dia akan kembali dan menghabiskan lebih banyak masanya di Kuala Lumpur. Saya akan berbincang dengan Nicol berapa banyak masa yang dia mungkin akan luangkan di Kuala Lumpur berbanding Amsterdam," ujar Pengarah Kejurulatihan SRAM, S. Maniam.

Kali terakhir Nicol menjuarai saingan jelajah PSA ialah di Terbuka Hong Kong, Disember tahun lalu.

Namun, sejak itu, dia bergelut dengan prestasinya sendiri selain kebangkitan pemain-pemain muda seluruh dunia.

Ketua jurulatih skuasy negara, Peter Genever, juga menyedari masalah ranking ketiga dunia itu dan bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk dia menggunakan sepenuhnya kepakaran Program Podium.

"Dia akan kembali mungkin empat kali setahun. Kami sangat gembira dia akan lebih kerap kembali ke Kuala Lumpur dan menggunakan tenaga kepakaran yang kami ada dan juga Program Podium.

"Kami sentiasa mengadakan perbincangan bagaimana kami boleh memberikan sokongan kepada kerjayanya.

"Pada masa akan datang, dia akan lebih kerap berada di Kuala Lumpur, berlatih di sini dan kami akan sentiasa memberikan sokongan sebanyak mungkin kepadanya," jelas Genever.