Skuad tinju negara akan mendapat sentuhan bekas jurulatih Thailand untuk menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 apabila Setiausaha Kehormat, Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Shamsul Deran, mengesahkan pengendali itu akan tiba pada Rabu ini.

Kejayaan PTAM mendapatkan jurulatih berkenaan dianggap permulaan baik dalam misi meraih satu emas dalam Sukan Sea tahun depan, selepas gagal membawa pulang sebarang pingat dalam temasya itu di Singapura, tahun lalu.

PTAM enggan mendedahkan identiti jurulatih terbabit, bagaimanapun difahamkan ia ada kaitan dengan Omar Puentes Malagon.

"Dia adalah seorang jurulatih terkenal di kalangan jurulatih-jurulatih tinju di Asia Tenggara. Kita sama-sama tunggu pada Rabu ini, Insya-Allah kalau tidak ada apa-apa dia akan sampai.

"Sasaran kami sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Itu KPI (Indeks Prestasi Utama) untuk dia," katanya.

Jurulatih kelahiran Cuba itu pernah membimbing Thailand sejak 10 tahun lalu dan berjaya melahirkan enam pemenang pingat Sukan Olimpik, termasuk dua emas.

Bagaimanapun, Omar dikritik apabila Thailand hanya mampu meraih dua emas dalam Sukan Sea Singapura.

Beberapa negara Asia Tenggara turut berminat mendapatkan khidmatnya.

Jika dia tiba di Malaysia Rabu ini, ia pasti menjadi pembakar semangat untuk skuad tinju negara yang tenggelam tanpa sebarang kejayaan besar sejak beberapa tahun lalu.

2009 adalah antara tahun terbaik buat skuad negara apabila mengutip dua emas dan tiga gangsa dalam Sukan Sea Laos.