Biarpun pulang dengan kalungan pingat perak daripada Kejohanan Jemputan One Belt One Road di Kunming, China semalam, skuad tenis negara berasakan usaha mereka seakan-akan tidak dihargai Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) apabila hanya menerima 40 peratus daripada hadiah wang kemenangan.

Barisan pemain negara meluahkan ketidakpuasan hati kerana tidak dimaklumkan lebih awal bahawa mereka hanya akan memperoleh 40 peratus daripada jumlah keseluruhan RM94,000 yang dimenangi daripada kejohanan itu.

Dua pemain senior negara, Jawairiah Noordin dan Syed Mohd Agil Syed Naguib, berasakan perkara itu tidak seharusnya berlaku selepas masalah pembayaran elaun mereka juga masih belum diselesaikan.

"Bagi saya, bukannya elaun tetapi hadiah kemenangan di Kunming itu perlu terus kepada pemain dan tidak sepatutnya dikongsikan separuh-separuh.

"Paling sedikit, kami sepatutnya mendapat 70 peratus.

"Kerana pemainlah yang beraksi.

"Jika mereka (LTAM) hendak cakap merekalah yang membawa kami ke sana, semua perbelanjaan itu ditanggung (penganjur di) Kunming," kata Jawairiah.

"Kami memang sangat-sangat kecewa kerana kami layak mendapat bahagian kami.

"Jadi, saya tidak dapat cari apa-apa sebab untuk mereka memotong (bayaran) itu," tambah Syed Mohd Agil pula.

Sementara itu, Timbalan Presiden LTAM, Datuk Salahuddin Ahmad Kamal, mengakui kesilapan pihaknya yang tidak memaklumkan lebih awal mengenai syarat yang ditetapkan berkenaan hadiah wang kemenangan itu.

"Apa yang paling penting adalah niat mereka itu untuk apa?

"Sebelum ini, untuk menghantar pemain senior menyertai dua kejohanan dalam setahun juga sukar.

"Mungkin dengan duit ini, pemain akan mendapat manfaatnya," katanya.