Jurulatih muay thai negara, Bernard Radin, menegaskan penyenaraian lima sahaja kategori dalam Sukan SEA Kuala Lumpur adalah yang terbaik buat Malaysia berbanding di Myanmar 2013 yang memperlihatkan sembilan kategori dipertandingkan.

Antara empat acara yang digugurkan ialah dua kategori paling ringan, iaitu 48 kilogram dan 51 kilogram, diikuti 60 kilogram serta kategori paling berat, 75 kilogram.

Selain itu juga, tiada sebarang acara bagi kategori wanita dipertandingkan dalam Sukan SEA kali ini.

Jelas Bernard, beliau positif lima atletnya yang akan bertanding dalam setiap acara dalam Sukan SEA nanti, masing-masing mampu membutirkan pingat kepada negara.

“Selepas tamat saingan Sukan SEA 2013, kami telah berjaya memungut dua emas dan tiga gangsa, satu pencapaian Malaysia yang boleh dibanggakan.

"Apabila Malaysia menjadi tuan rumah, sukan ini sekali lagi dipertandingkan dan saya yakin kami mampu meraih kejayaan nanti,” kata Bernard.

Sementara itu, beliau tidak berasa kecewa dengan keputusan seorang lagi pemenang pingat emas, Mohd Faizal Ramli, yang memilih bersara sepenuhnya daripada sukan berkenaan.

Dia yakin pengganti lain seperti Nidal Mahmoud yang akan bertanding dalam kategori 71 kilogram mempunyai prospek memenangi pingat emas.

“Saya telah bertemu Nidal baru-baru ini untuk berbincang bersamanya untuk kembali bersama skuad negara dan bertanding dalam Sukan SEA tetapi dia memilih untuk kekal
bersara dan memberikan tumpuan kepada kerjayanya.”