Sharmini: Umpama bermimpi di siang hari

Oleh Staff Writer 20 Mei 2018 1666
Sharmini: Umpama bermimpi di siang hari
Atlet ekuestrian negara, R. Sharmini Christina, menyifatkan penerimaan pingat emas acara show jumping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 susulan sampel air kencing kuda wakil Filipina dikesan positif doping sebagai sesuatu yang tidak pernah terjangka.

Sharmini pada awalnya meraih pingat perak show jumping menggunakan kuda Arcado l.

Bagaimanapun, Persekutuan Sukan SEA (SGF) mengesahkan wujud kes doping membabitkan kuda atlet Filipina, sekali gus meletakkan Sharmini dalam situasi terbaik untuk menukarkan perak kepada emas.

Sharmini ketika ini berlatih di Eropah dan menyifatkan berita itu adalah pembakar semangat buatnya menjelang Sukan Asia Indonesia, Ogos depan. 

"Satu penghormatan buat saya apabila menjadi sebahagian daripada skuad ekuestrian negara yang memenangi emas berpasukan dan individu ketika Sukan SEA 2017. Ia adalah pencapaian hebat buat sukan ekuestrian," katanya.

Selain Filipina, wujud empat lagi kes doping lain yang mengubah pungutan pingat negara bertanding.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2018 (MASOC) dijangka mengeluarkan kedudukan terbaru dalam masa terdekat.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment