Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, meraih pingat gangsa dalam final acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, hari ini.

Lebih manis, Shah Firdaus menewaskan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe --pemenang emas dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India, dua minggu lalu.

Tanpa kelibat bintang utama negara, Azizulhasni Awang, jaguh dalam pembikinan berusia 22 tahun itu muncul wakil tunggal Malaysia dalam acara tersebut.

Terdahulu, Shah Firdaus mara ke pusingan kedua selepas meraih tempat kedua saringan satu dalam pusingan pertama.

Dia kemudian menduduki tangga ketiga dalam saingan pusingan kedua untuk mara ke peringkat akhir.

Meskipun memulakan perlumbaan selaku pelumba kelima terbaik, Shah Firdaus berjaya mempamerkan strategi berkesan bagi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk meraih gangsa.

Ia adalah gangsa kedua Shah Firdaus musim ini selepas meraih kejayaan sama dalam Kejohanan Trek Asia dan pingat pertama dalam Piala Dunia sejak menyertai pasukan senior.

Tempat pertama perlumbaan menjadi milik pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata, manakala pelumba Kanada, Hugo Barrette, memenangi pingat perak, ketinggalan 0.042s sementara Shah Firdaus ketinggalan 0.075s.

Keputusan final acara keirin lelaki:-

1. Fabian Hernando Zapata (Colombia): 10.522s
2. Hugo Barrette (Kanada): +0.042s
3. Shah Firdaus Sahrom (Malaysia): 0.075s
4. Lewis Oliva (Wales): +0.124s
5. Francois Pervis (Perancis): +0.162s
6. Kazunari Watanabe (Jepun): +0.165s