Ajaran bekas juara dunia dari China, Mao Yaqi, diterima baik barisan atlet wushu negara walaupun baru bersama kem kebangsaan selama dua minggu.

Skuad wushu negara telah mendapat sentuhan bekas juara dunia, Yaqi, bagi memantapkan persiapan ke Kejohanan Dunia dan Sukan SEA di Filipina, tahun ini.

Yaqi, yang hanya tiba awal bulan ini daripada rancangan asal, iaitu Julai lalu, tidak berdepan sebarang halangan untuk mengerah kudratnya demi membantu skuad negara mempersiapkan diri.

"Dalam tempoh dua minggu, saya berasakan setiap atlet akan menikmati latihan yang menarik dan menggembirakan apabila mendapat sentuhan Yaqi," kata ketua jurulatih negara, Lim Yew Fai.

"Beliau banyak membantu kami daripada segi teknikal dan membantu memperkemaskan lagi kemahiran atlet negara," kata atlet negara, Chuah Shangyang.

Bagaimanapun, Yaqi menyedari atlet wushu negara masih mempunyai beberapa aspek yang harus diperbaiki sebelum bersaing di peringkat dunia.

Sebelum ini, Persekutuan Wushu Malaysia menyasarkan sebutir pingat emas dalam Kejohanan Dunia di Shanghai, China yang bakal berlangsung 20 hingga 23 Oktober depan.