"Saya mengambil masa selama satu setengah tahun sebelum membuat keputusan untuk bersara"

Itulah tempoh masa yang diambil ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, sebelum memutuskan untuk meninggalkan skuasy selepas 27 tahun mengabdikan diri dalam sukan itu sehingga bergelar bintang dunia.

Ia bukanlah satu keputusan yang mudah buatnya untuk menamatkan kariernya sebagai pemain.

Ia nyata lebih sukar buat juara dunia lapan kali berkenaan, apatah lagi masih belum ada pemain negara yang lain mampu berada dalam kelompok 30 terbaik dunia dengan Nicol kini berada di ranking ke-21 dunia.

"Inilah langkah yang perlu saya lakukan, setakat ini sahajalah kemampuan (terbaik) saya.

"Saya sudah mempertimbangkan untuk bersara sejak dua tahun lalu dan tempoh itu semakin hampir," ujarnya yang mengumumkan hasratnya untuk bersara pada Jun depan secara esklusif di Nadi Arena, malam tadi.

Nicol akan dikenang sebagai legenda sukan tersohor yang memiliki pelbagai pencapaian sensasi kerana mengatasi hampir kesemua pemain skuasy seluruh dunia.

Namun, anak jati Pulau Pinang itu mempunyai kenangan yang paling sukar ditelan meskipun dia dikelilingi pencapaian luar biasa.

"Perkara paling sukar adalah ketika kehilangan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia dan ketika itu saya tidak tahu bagaimana untuk menanganinya memandangkan sudah memegang status berkenaan hampir sembilan tahun.

"Saya bergelut dan sebenarnya keliru dengan apa yang berlaku dan hanya mula menyedarinya selepas setahun.

"Semakin lama saya mencuba, langkah saya semakin ke belakang," tuturnya.