Selangor menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2022, bukan hanya bersandarkan reputasi sebagai juara sembilan kali, malah temasuk kemampuan untuk menyediakan fasiliti bertaraf dunia.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah temasya itu adalah pada 1998.

Cadangan itu sudah diusulkan Majlis Sukan Negeri Selangor kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan masih menantikan maklum balas.

"Setakat ini, negeri-negeri lain belum ada yang berminat untuk menjadi tuan rumah kecuali beberapa negeri yang sudah menyatakan kesediaan.

"Tetapi tawaran kami untuk menjadi tuan rumah Sukma berdasarkan kepada keadaan ekonomi," kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Selangor akan menjadi tuan rumah Persidangan Sukan Antarabangsa Selangor 2019, Selasa depan.

Persidangan itu akan menghimpunkan warga sukan dari seluruh dunia untuk berkongsi idea dan pengalaman.

Ia merupakan jalinan kerjasama dengan Persatuan Penulis-Penulis Sukan (AIPS) Asia.

"Yang paling penting sekali ialah Persidangan Sukan Antarabangsa Selangor kerana ia peluang untuk penggiat sukan Selangor untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman daripada perkongsian penceramah-penceramah bertaraf antarabangsa.

"Yang kami usahakan, contohnya ialah daripada jawatankuasa induk penganjuran Piala Dunia Qatar 2022," kata Naib Presiden AIPS Asia, Ahmad Khawari Isa, dalam sidang media di Hotel dan Spa Sunway Resort hari ini.