Pemain skuasy wanita negara, Teh Min Jie, mahu mendapatkan kembali rentak permainan terbaik dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2016 sebelum dia menamatkan kariernya sebagai atlet tahun hadapan.

Keputusan Min Jie untuk tidak lagi bergelar atlet kebangsaan bukan sekadar atas alasan mahu menyambung pelajaran tetapi kerana kekecewaannya yang gagal menyerlah, khususnya dalam Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Bagaimanapun, pemain di ranking ke-72 dunia ini ingin memperbaiki kelemahan dirinya sebelum menamatkan karier dalam kejohanan kebangsaan yang bermula semalam.

Tidak akan beraksi dalam Sukan SEA tahun hadapan, Min Jie tidak berasa kesal selain berharap rakan yang lain mampu membantu Malaysia meraih pingat emas.

“Saya gagal mempamerkan pencapaian yang memberangsangkan buat beberapa tahun ini, jadi saya mengambil langkah untuk bersara dan memberikan tumpuan kepada pelajaran saya,” kata Min Jie.

Pemain lelaki nombor tiga negara, Mohd Addeen Idrakie, pula semakin teruja untuk beraksi, lebih-lebih lagi dengan kehadiran beberapa pemain senior dan bekas pemain negara yang turut serta bersaing dalam kejohanan itu.

“Pada suku akhir, saya akan bertemu Ong Beng Hee, ini merupakan peluang terbaik saya untuk memperoleh pengalaman kerana dalam kejohanan sebelum ini, saya tewas kepadanya, saya berharap untuk bermain dengan lebih baik kali ini,” ujar Addeen.