Sarawak komited untuk terus melahirkan jagoan kolam renang di negeri ini dengan menyediakan kemudahan untuk sukan itu kepada orang awam.

Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata beliau yakin dengan adanya kemudahan tersebut, proses mencungkil bakat dan minat di kalangan atlet dapat dilakukan sejak usia muda lagi.

"Misalnya kami telah menyerahkan pengurusan Pusat Akuatik Pandalela Rinong untuk dikendalikan oleh Akademi Renang Bestari.

"Dalam jemaah penasihat kejurulatihan akademi ini, ada nama-nama besar seperti Abdul Rahim Bugo, Tania Bugo, Charles Voon, Catherine Chong, malah Die Ung Manggang, yang pernah mengharumkan nama negara.

Kerana itu, saya yakin usaha mencungkil bakat-bakat muda ini akan dapat berjalan dengan lancar," katanya lagi.

020317 Pusat Akuatik Pandalela Rinong di Kompleks Sukan Sarawak

Beliau sebelum ini merasmikan pembukaan Pusat Akuatik Pandalela Rinong di Kompleks Sukan Sarawak kepada orang awam.

Ruang yang dibuka dan diurus Akademi Renang Bestari melibat kolam awam yang juga dijadikan taman tema air mini.

Mereka yang memasuki taman tema ini akan dikenakan bayaran RM2.50 untuk kanak-kanak dan remaja, manakala RM4.00 untuk dewasa.

Pembelian tiket secara kad prabayar turut dijual pada kadar RM25 untuk kanak-kanak dan RM40 untuk dewasa, bagi 11 kemasukan.

Kata Karim, ini merupakan kolam awam keempat di bandar raya ini, selepas Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kolam Renang Stampark dan Kolam Renang di Pusat Akuatik di Kompleks Belia dan Sukan Negeri.

"Ia amat sesuai untuk aktiviti riadah keluarga kerana santai, manakala ruangnya agak luas.

"Malah, harganya juga amat jauh rendah berbanding tempat lain."

Sementara itu, Pengurus Akademi Renang Bestari, Abdul Rahim Bugo, mengakui tentang betapa pentingnya kemudahan seperti ini dalam melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan renang.

"Kita tidak menolak bahawa bakat kanak-kanak semuda enam hingga lapan tahun akan dapat dikesan, sebelum dibekalkan dengan latihan yang komprensif.

"Adik saya,Tania Bugo yang pernah memenangi banyak pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan mewakili Malaysia ke kejohanan pelbagai peringkat umur pada usia lapan tahun.

"Bagi pihak Akademi, kami mengalu-alukan jika ada ibu bapa yang terkesan akan bakat anak mereka untuk berjumpa dengan kami, bagi merancang program latihan yang sesuai," tambahnya lagi.

Pamg Joheng, bapa kepada atlet terjun Olimpik negara, Pandalela Rinong, turut mengalu-alukan usaha kerajaan mewujudkan lebih banyak kolam awam di negeri ini.

"Ia memudahkan anak-anak menampilkan bakat mereka dan menanam minat dalam bidang sukan ini.

"Dengan kemudahan yang tersergam indah ini, yang perlu adalah disiplin diri serta komitmen untuk menjalani latihan keras.

"Dan ibu bapa pula perlu menyokong dan memotivasi anak-anak mereka, agar tidak mudah patah semangat jika ingin berjaya."