Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, akan memanggil jawatankuasa kontinjen yang mencatat keputusan teruk termasuk gagal meraih pingat dalam Sukan Sabah (SAGA) Ke-9 yang berakhir hari ini.

"Ada kontinjen yang tidak dapat (pingat) dan saya akan memanggil jawatankuasa mereka untuk mengkaji apakah kelemahannya.

"Kemungkinan mereka tiada fasiliti, tidak berminat atau kurang mengamalkan gaya hidup sihat," katanya ketika ditemui di Keningau hari ini.

Daripada 27 kontinjen yang bertanding, hampir kesemua berjaya menuai pingat emas kecuali Kudat, Telupid dan Kuala Penyu manakala Kunak pula gagal mengutip sebarang pingat.

Sementara itu, Phoong puas hati dengan penganjuran SAGA kali ini walaupun mengakui ada beberapa kelemahan.

"Ada beberapa kelemahan dan kekangan seperti makanan, penginapan serta venue pertandingan yang belum sempurna.

"Selain itu, kami juga ada menerima beberapa aduan tetapi ia tidak besar dan kami mampu menanganinya.

"Satu post-moterm juga akan dibuat kerana kita mahu menjadikan kejohanan ini bertambah baik di masa akan datang," katanya.

Phoong juga memberi penghargaan kepada pelaksana pertandingan, pekerja, sukarelawan, media dan semua pihak yang terlibat.