Sesi kelayakan MotoGP dalam GP Jepun hari ini menyaksikan juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi, melakukan kejutan dengan menempah petak pertama buat kali ke-64 dalam kariernya.

Ini merupakan petak pertama yang ketiga buat Rossi musim ini sejak kali terakhir melakukannya di Mugello pada Mei.

Semuanya kerana aksi cemerlang pelumba Movistar Yamaha itu, yang mencatatkan masa terpantas 1:43.954 saat, meninggalkan pendahulu kejuaraan, Marc Marquez dari Repsol Honda, yang kerap melakukan kesilapan, termasuk di dua selekoh terakhir.

Saingan Moto2 menyaksikan pendahulu kedudukan pelumba, Johan Zarco, tetap akan memulakan perlumbaan di petak pertama walaupun terbabit dalam kemalangan.

Dalam pada itu, pelumba negara, Hafiz Syahrin, menempah petak ke-12 selepas mencatat masa 1:50.898 saat dalam misi mengukuhkan kedudukan kelapan kejuaraan yang kini dipisahkan hanya empat mata dengan pelumba Itali, Lorenzo Baldassarri.