Gimnas muda negara, Rayna Hoh, bergelut dalam latihan di peringkat senior selepas dua minggu memulakan rutin baru yang lebih sukar berbanding dalam skuad remaja.

Rayna memulakan latihan lebih awal di peringkat senior sebagai persediaan untuk menghadapi aksi kompetitif tahun depan.

Perbezaan rutin dalam setiap empat apparatus memberi cabaran baru buat gimnas berusia 15 tahun tersebut dan dia perlu segera menguasai perubahan itu andai ingin bersaing dengan barisan gimnas senior lain.

Sukan SEA 2019 menjadi keutamaan buat Rayna dalam memastikan perebutan slot memihak kepadanya.

"Dalam apparatus gegelung, saya mempunyai muzik baru tetapi dalam apparatus bola dan reben, saya didedahkan dengan rutin senior selepas beralih daripada skuad remaja, baru-baru ini.

"Bagi saya, kesukaran ketika ini adalah dalam apparatus reben memandangkan perlu menggunakan reben yang lebih panjang, daripada 5sm kepada 6sm selain keperluan untuk menyesuaikan diri dengan darjah kesukaran dalam rutin," katanya.

Pingat perak di pentas Sukan Olimpik Remaja 2018 nyata menjadi penutup manis buat Rayna selepas mengharungi tahun yang cukup mencabar dengan turut mengorbankan waktu persekolahan walaupun harus menduduki peperiksaan PT3, bulan lalu.

"Sudah tentu saya merindui pelajaran dan ingin menghadiri kelas.

"Detik sukar adalah dalam sesi latihan kerana jurulatih dan saya sendiri perlu mendesak kemampuan saya sehingga ke tahap tertinggi.

"Namun, semua kerja keras ini membuahkan hasil," katanya.