Rangka usul bida Sukan Asia, Komanwel bakal dibentang di Parlimen

Oleh Staff Writer 10 September 2019 333
Rangka usul bida Sukan Asia, Komanwel bakal dibentang di Parlimen
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kini dalam rangkaan untuk membentangkan usul di Parlimen berkaitan pembidaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Asia 2030 serta hasrat negeri Selangor menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Ura-ura untuk Malaysia membida hak Sukan Asia 2030 sudah pun kedengaran sejak awal tahun ini, sejurus Malaysia berjaya menjadi tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ini ditambah Selangor pula komited untuk membida menjadi penganjur Sukan Komanwel 2026, empat tahun sebelum berlangsung temasya sukan terbesar di rantau ini.

Justeru, keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini adalah untuk meyakinkan wakil persidangan di Parlimen memandangkan ia memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi untuk menganjurkan acara sukan seperti itu.

"Kami baru sahaja berbincang mengenai penganjuran Sukan Komanwel dan ia memakan perbelanjaan yang agak tinggi. Kami mahu berunding supaya negara yang menganjurkan temasya mendapat impak yang positif," katanya.

Syed Saddiq ditemui ketika lawatan Yang Dipertua Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Putera Edward, ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini untuk meninjau fasiliti dan persiapan atlet kebangsaan ke Sukan SEA Filipina 2019.

"Putera Edward berpandangan sukan Malaysia semakin berkembang dan mahu hubungan di antara negara-negara Komanwel kekal utuh."

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment