Pemain ragbi 7's negara, Anwarul Hafiz Ahmad, berkeyakinan tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan walaupun sudah beberapa tahun tidak menyertai skuad kebangsaan.

Anwarul sebelum ini merupakan tonggak skuad negara khususnya dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Namun, pemain berusia 26 tahun itu mengambil keputusan untuk beralih haluan ke sukan bola sepak dengan menyertai UiTM FC selama tiga musim.

Bagaimanapun, kekecewaan akibat tidak diberikan peluang beraksi menyebabkan dia kembali memperkuatkan skuad ragbi 7's negara bagi menghadapi dua tugasan penting tahun ini iaitu Kejohanan Trofi Asia serta Sukan SEA Filipina.

Jelasnya, masih ada beberapa perkara yang perlu ditingkatkan untuk mencari persefahaman serta rentak permainan dengan rakan sepasukan.

"Ia tidak menjadi masalah kerena lebih separuh daripada pasukan ini pernah bersama-sama saya sewaktu beraksi pada 2015.

"Kami saling mengenali dan saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri," katanya.

Dalam pada itu, Anwarul berpandangan kualiti yang ada dalam skuad negara ketika ini jauh lebih baik berbanding empat tahun lalu.

Bermula dengan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad negara kemudian menduduki tangga kelima Sukan Asia Indonesia tahun lalu.

"Pada 2015, kami tewas kerena tidak melakukan persediaan yang sempurna.

"Kami hanya memiliki tempoh tiga bulan untuk mempersiapkan pasukan.

"Kini, kami memulakan persediaan awal dan akan memiliki pasukan yang lebih baik," tambahnya.