Rafiq Ismail merangkul gelaran keduanya tahun ini setelah dinobatkan juara di Hong Kong dengan menundukkan pemain tuan rumah, Michael Mak, dalam aksi final step-ladder Masters, Kejohanan Asia.

Rafiq mara ke saingan separuh akhir selepas menamatkan saingan Masters di tangga kedua dengan 3,681 jatuhan pin.

Di peringkat separuh akhir, lawannya dari Jepun, Shogo Wada, menghadirkan saingan sengit sebelum Rafiq memastikan kemaraan ke final dengan kemenangan 203-198 jatuhan pin.

Berdepan pilihan utama dan juga wakil tuan rumah, Michael Mak, sedikitpun tidak menggentarkan Rafiq.

Dia mendominasi saingan dari awal untuk muncul juara hasil kemenangan 411-362 jatuhan pin.

"Saya berasa sangat seronok dan bangga kerana berjaya meraih pingat emas.

"Michael Mak adalah pemain bowling yang baik. Dia bermain dengan baik sepanjang kejohanan ini.

"Saya rasa sangat gembira dapat membawa pulang pingat emas," katanya.

Kemenangan Rafiq itu melengkapkan saingan skuad bowling negara di Kejohanan Asia dengan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Dua emas awal disumbangkan Timmy Tan dalam acara perseorangan dan Sin Li Jane-Esther Cheah dalam acara beregu wanita.