Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, bimbang kesuntukan masa melantik penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 akan menjejaskan penyertaan pasukan bertaraf jelajah pro.

Lima syarikat sudah membentangkan perancangan mereka untuk menjadi penganjur LTdL 2019 yang sepatutnya bermula 24 Mac depan.

Masa semakin suntuk kerana penganjur berdepan cabaran menarik minat pasukan jelajah pro menyertai perlumbaan bertaraf Hors itu.

Malah, laluan juga belum diputuskan ketika Kementerian Belia dan Sukan menetapkan Langkawi, Kedah wajib menjadi salah satu peringkat perlumbaan.

Situasi itu meningkatkan kebimbangan PKBM untuk menjaga reputasi LTdL yang dipertandingkan sejak 1996.

"Kami hanya berbaki dua bulan sebelum saingan bermula dan pihak penganjur harus dipilih dalam kadar segera.

"Seperti di dalam peraturan yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kami memerlukan sekurang-kurangnya 60 hari untuk menghantar jemputan menyertai LTdL," kata Amarjit.

"Kami sedang meneliti setiap syarikat yang mahu bertindak sebagai penganjur LTdL kali ini dengan Langkawi menjadi salah satu peringkat perlumbaan."