Peserta Australia, Dean Hancock, muncul juara keseluruhan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2017 selepas menamatkan renangan sejauh 6.5km itu dengan masa terpantas 1 jam 34 minit 10 saat.

Kejayaan itu membolehkan Hancock, 48, membawa pulang wang tunai RM500 serta trofi iringan.

Masa yang dicatat itu juga membolehkan Hancock mengungguli kategori lelaki 47 tahun ke atas, mengatasi peserta Jepun, Tsuyoshi Sawada (1:42:40) dan Stephen Jestico, juga dari Australia (1:50:36) di kedudukan ketiga.

Selaku juara kategori itu, Hancock memenangi RM1,200, Sawada RM800 manakala Jestico terpaksa berpuas hati dengan hadiah kemenangan RM600.

“Kemenangan ini sangat menggembirakan memandangkan ia kejuaraan pertama saya selepas tiga percubaan sebelum ini.

“Cabarannya agak sukar pada awal perlumbaan, kemudian beberapa peserta berjaya menempatkan diri di hadapan dan kami mengharungi renangan yang sengit.

“Saya telah bersedia sebelum ini dengan latihan rapi dan saya akan kembali lagi tahun hadapan bersama rakan-rakan kerana kejohanan ini sangat menarik,” kata Hancock.

Rakan senegaranya, Alexandra Evans, pula menguasai kategori wanita 35 tahun ke atas dengan masa 1:48:10.

Tempat kedua milik peserta Malaysia, Jessie Wong (1:54:46) manakala peserta Singapura, Melanie Ho, ketiga (2:34:34).

Seramai 422 peserta dari 26 negara mengambil bahagian dalam enam kategori perlumbaan yang bermula di Pulau Kapas dan berakhir di Pantai Kelulut, Marang.