Mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur menjadi antara agenda utama buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Salleh.

Kemampuan Harrif tidak boleh dipertikaikan lagi apabila dia membantu skuad lebuhraya negara meraih dua pingat emas dalam Sukan SEA 2015 Singapura, masing-masing bagi acara kriterium serta lepas beramai-ramai.

Lantas, dia berharap dapat mengekalkan kejayaan itu, apatah lagi saingan kali ini akan berlangsung di negara sendiri.

Meskipun dia mempamerkan kayuhan kurang memuaskan dalam saingan Jelajah Malaysia 2016, itu bukan penanda aras terhadap kemampuannya ketika ini.

“Harapan saya adalah untuk mempertahankan pingat emas, saya meminta kesilapan dalam Jelajah Malaysia tidak diulangi ketika bersaing pada tahun hadapan, kami perlu mempelajari daripada kesilapan ini bagi memastikan kejayaan akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai ancaman dalam Sukan SEA nanti, Harrif berpandangan pelumba-pelumba dari Vietnam akan menjadi ancaman utama di samping kelibat pelumba Filipina yang turut mengambil bahagian dalam saingan Jelajah Malaysia kali ini.

Selain itu, Harrif turut meluahkan kebimbangan terhadap program latihan dan persediaan skuad negara untuk temasya itu nanti kerana segala perancangan perlu difahami bersama oleh setiap pelumba.

“Kami perlu melakukan perubahan dalam program latihan, Malaysia perlu menghantar kami berlatih di luar negara, sekadar berlatih di kampung tidak cukup. Untuk cemerlang dalam Sukan SEA, kita perlu bermula dari sekarang.”