Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, menganggap keputusan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, untuk bersara sebagai satu tamparan hebat untuk sukan negara.

Juara dunia keirin 2017 itu yang mesra dengan panggilan ‘Jijoe’ dalam kalangan rakan sepasukan, menjelaskan pencapaian luar biasa Nicol sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam skuasy sukar ditandingi mana-mana atlet negara.

“Seperti kita ketahui, jangka hayat seseorang atlet tidak panjang dan berbeza mengikut sukan, jantina dan juga individu tersebut. Saya percaya dan yakin beliau (Nicol) masih dapat meneruskan karier beliau untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga ke empat tahun akan datang,” katanya.

Azizulhasni yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 menjelaskan kemampuan seseorang atlet untuk mengekalkan prestasi cemerlang, terutama di pentas antarabangsa, adalah sukar kerana pelbagai faktor, termasuk peningkatan usia.

“Mentaliti kebanyakan peminat sukan di Malaysia adalah biasanya hendak atlet Malaysia menang setiap masa dan bila atlet kalah, mereka akan dicemuh sedangkan apabila usia meningkat, atlet di peringkat elit perlu merancang untuk mencapai kemuncak prestasi mereka sekali atau dua kali setahun.

“Kalau kita lihat kepada persembahan Nicol, beliau masih dapat mengekalkan persembahan di peringkat elit dan ini sesuatu yang amat memberangsangkan dan perlu diberi pujian,” ujar Azizulhasni yang sedang membuat persediaan rapi bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Poland, bulan depan.

Nicol, 35, yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak sembilan kali, mengambil keputusan untuk menggantung raket pada penghujung Jun depan.

Anak jati Pulau Pinang itu pernah menduduki ranking nombor satu dunia selama sembilan tahun sebelum dirampas jaguh Mesir, Raneem El Weleily, pada 2015 dan menjadi pemain wanita Asia pertama berada dalam ranking nombor satu Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) pada 2006.

Sepanjang kerjayanya, Nicol telah menggondol tiga pingat emas Sukan Dunia, lima emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan dua gelaran Terbuka British.

-- BERNAMA