Lebih 120 peserta dari 18 negara bakal bersaing bagi memburu kejuaraan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu Ke-29, di Kundasang, pagi esok.

Daripada jumlah tersebut, seramai 90 peserta telah mengesahkan penyertaan bagi kategori elit lelaki, manakala 31 lagi untuk kategori elit wanita dengan kejohanan kali ini hanya mempertandingkan dua kategori utama.

Antara peserta yang menjadi tumpuan termasuk beberapa pelari tempatan seperti Safrey Sumping, yang pernah mendapat tempat ketiga sebanyak dua kali beberapa tahun lalu, iaitu ketika laluan asal (21km), digunakan serta sewaktu laluan ditukar kepada laluan Mesilau.

Turut dijangka memberi saingan sengit ialah Daved Simpat, yang pernah muncul juara kategori terbuka lelaki (laluan Mesilau) pada 2013 selain pelari muda berpotensi, Wincenbert Latius.

Sementara itu, perlari yang tidak asing lagi dalam Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, Guianus Salagan, turut mendaftar untuk kejohanan kali ini.

Guianus memiliki rekod 12 kejuaraan dalam Climbathon sebelum ini, termasuk kejuaraan hatrik pada tahun 1994, 1995 dan 1996.

Dalam pada itu, kategori elit wanita juga tidak kurang hebatnya dengan bekas juara, Danny Kuilin, dijangka mengetuai senarai sebagai peserta pilihan untuk muncul juara.

Selain peserta tempatan, turut memeriahkan kejohanan kali ini ialah peserta dari negara luar, iaitu dari Australia, Brunei, Finland, Perancis, Great Britain, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Kenya, Mexico, Filipina, Russia, Singapura, Sepanyol, Taiwan, Tunisia dan Amerika Syarikat.

Antara pelari ternama luar negara yang menyertai larian mendaki puncak tertinggi Asia Tenggara itu termasuk Dai Matsui dari Jepun dan Jermavin Septimo Cabila dari Filipina bagi kategori elit lelaki. Seorang lagi pelari Filipina, Sandi Menchi Catlona Abahan, akan bersaing dalam kategori elit wanita.

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, kembali dianjurkan tahun ini dengan menggunakan laluan berbeza (28km) dan lebih mencabar selepas 'berehat' akibat kejadian gempa bumi pada tahun lalu.

Edisi kali ini juga menyaksikan kejohanan itu tidak lagi diadakan secara terbuka dengan hanya peserta jemputan yang berkelayakan dibenarkan mengambil bahagian.