Sepuluh peratus atlet yang menjalani pembedahan membina semula ligamen lutut gagal pulih sepenuhnya. Ia berpunca daripada kesilapan teknikal ketika pembedahan atau atlet tidak menjalani rawatan fisioterapi seperti yang ditetapkan bagi memulihkan kekuatan ligamen tersebut.

Pemain hoki negara, Izad Hakimi Jamaluddin, yang mengalami kecederaan PCL ketika menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari lalu, diminta berehat selama enam bulan dan berdepan risiko terlepas Sukan Asia Indonesia, bulan depan.

"Kekuatan otot tidak dapat pulih sepenuhnya jika mereka tidak menjalani proses fisioterapi yang telah ditetapkan," kata Ketua Fisioterapi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Leena Lee Poh Chen.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu akan membuktikan proses rawatan yang betul akan membantunya pulih dengan cepat untuk membantu Malaysia meraih tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Apabila doktor mengesahkan saya mengalami kecederaan PCL, saya agak kecewa kerana jadual kejohanan untuk 2018 sangat padat dan penting seperti Sukan Asia dan Piala Dunia," kata Izad.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak melakukan pembedahan tetapi perlu menjalani latihan untuk memperkuatkan otot bagi memastikan kecederaan itu pulih," ujarnya.

90 peratus atlet kembali beraksi selepas menjalani rawatan dan proses pemulihan yang betul.

Ia dapat menyelamatkan karier dan jutaan ringgit yang dilaburkan kerajaan untuk membentuk seorang atlet hingga mereka bersara.