Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak serta pihak swasta akan menganjurkan Persidangan Industri Profesional E-Sukan (EPIC) yang bakal berlangsung di Casuarina Convention Center, Meru, Ipoh pada 2 dan 3 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, berkata persidangan yang julung kali diadakan di Perak itu akan menjadi satu penanda aras bagi hala tuju e-sukan di negeri Perak.

Persidangan itu juga bakal melibatkan ahli panel dalam negeri dan antarabangsa yang bergiat aktif dalam pembangunan e-sukan di seluruh pelosok negara.

Chuan How berkata matlamat persidangan itu adalah untuk membuka peluang dan ruang kepada rakyat di Perak, khususnya golongan belia, agar melihat e-sukan sebagai satu sukan yang sihat menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran ahli panel.

"E-sukan merupakan satu sektor ekonomi baru pada masa kini dan bakal melonjakkan sektor ekonomi negeri Perak," katanya.

Selain itu, kejohanan e-sukan peringkat daerah Kinta juga akan diadakan bagi mengenal pasti dan mencungkil bakat belia seterusnya mewakili daerah untuk kejohanan peringkat negeri nanti.

Chuan How menjelaskan pelabur asing daripada segi nanoteknologi, latihan, pencipta dan pemaju inovasi permainan video, VR/AR/MR, hologram, laser dan robotik, koding dan aplikasi serta lain-lain yang selaras dialu-alukan dengan hasrat kerajaan negeri dalam pembentangan Belanjawan 2019 bagi menggerakkan Revolousi Industri keempat.

Kerajaan negeri, katanya, membuka seluas-luasnya ruang serta sokongan kepada pelabur yang mempunyai hasrat melabur di negeri Perak.

Chuan How menjangka program selama dua hari itu bakal menarik lebih 4,000 pengunjung, terutama belia yang berkecimpung dalam e-sukan.