Penganjur Sukan Para Sukma 2018 akan memberikan lebih tumpuan kepada keselesaan atlet yang mengambil bahagian dengan penekanan lebih kepada aspek doping yang mencalarkan kemeriahan temasya di Perak, 11-22 September lalu.

Selepas penganjuran Sukma Perak yang menyaksikan kejayaan kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan, tumpuan kali ini lebih terarah kepada Para Sukma yang sepatutnya dilangsungkan bulan lalu.

Bagaimanapun, ia ditunda ke bulan ini agar lebih perincian dapat dilakukan dengan anggaran 2,000 atlet ,termasuk wakil para negara, akan mengambil bahagian.

Sudah pasti keutamaan lebih mejurus kepada kemudahan yang bersesuaian dengan atlet kelainan upaya dalam 10 acara yang dipertandingkan.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Para Sukma 2018, Musa Dun, menjelaskan aspek doping tetap menjadi perhatian dan beberapa kes yang berlaku dalam saingan Sukma lalu menjadi pengajaran.

"Dalam temasya ini, kami amat menitikberatkan aspek perubatan yang diambil atlet.

"Kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan mendapat khidmat nasihat yang berterusan dalam memantau setiap atlet," katanya.

Sementara itu, Musa turut yakin isu membabitkan penginapan atlet yang sebelum ini menjadi perhatian sewaktu penganjuran Sukma tidak akan berulang bagi aksi Para Sukma kali ini.

Ia kerana kesemua kontinjen akan ditempatkan di perkampungan sukan yang berpusat di Politeknik Ungku Omar selain memudahkan pergerakan mereka ke venue pertandingan di sekitar Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Cabaran kali ini lebih mencabar untuk memastikan kemudahan-kemudahan sepanjang temasya mampu memberikan keselesaan buat atlet," tambah Musa.