Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Sukan Negeri Sarawak, hari ini.

Pandelela, 23 tahun, yang menenangi pingat perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama dalam Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu, menerima anugerah itu sempena sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Stadium Perpaduan, Kuching.

Melahirkan rasa penghargaan dan gembira dengan penganugerahan itu, Pandelela berharap ia akan menjadi perangsang kepada semua belia di negeri itu untuk melakukan sesuatu perkara dengan sebaik mungkin.

"Saya berharap kemenangan ini akan menjadi motivasi kepada belia di negeri ini untuk mencapai tahap tertinggi dalam bidang yang mereka ceburi," katanya yang berasal dari Kampung Jugan, Bau.

Sementara itu, atlet Paralimpik negara yang turut beraksi di Rio de Janeiro, Jong Yee Khie, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Istimewa.

Yee Khie, 28, merupakan atlet angkat berat negara yang memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Piala Dunia Powerlifting, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), pada Februari lalu.

Bagaimanapun, dalam Sukan Paralimpik Rio, dia hanya menduduki tempat ketujuh.

Persatuan Tenpin Boling Sarawak pula memenangi anugerah Persatuan Belia Sukan ekoran kejayaannya menghasilkan atlet-atlet berpotensi hingga mencapai enam pingat emas dalam Sukan Malaysia XVIII, yang berlangsung di Kuching, Julai lalu.

Kesemua penerima augerah individu menerima habuan tunai RM2,000 manakala penerima anugerah persatuan membawa pulang RM3,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.