Atlet terjun kebangsaan, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, menjadi pilihan jurulatih negara, Christian Brooker, untuk mengisi slot acara 10 meter platform individu wanita dalam Piala Dunia Jepun, April depan yang juga menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Brooker tetap memilih Pandelela ke Jepun walaupun jaguh kelahiran Sarawak itu sudah layak ke Olimpik Tokyo dalam acara 10m platform individu.

Pengendali itu mempunyai alasan tersendiri walaupun langkah itu menghalang peluang penerjun lain untuk menempah slot ke Olimpik.

"Pandelela masih perlu beraksi dalam Piala Dunia dan meyakinkan panel pemilihan bahawa dia mempunyai peluang besar untuk meraih pingat di pentas Olimpik. Dhabitah juga gigih berlatih untuk memastikan mampu menyinar dalam Piala Dunia," katanya.

Malaysia mempunyai beberapa penerjun lain yang mampu beraksi dalam saingan 10m platform individu wanita seperti Dhabitah, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong.

Penerjun yang menempah tiket Olimpik Tokyo tidak semestinya terpilih ke temasya itu kerana slot itu akan ditentukan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Buat masa ini, tiga penerjun dipilih menyertai kejohanan pertama tahun ini, Grand Prix FINA di Jerman,bulan depan.

"Dalam saingan di Jerman nanti, tiga penerjun termasuk bintang muda, Bertrand Lises-Enrique Harold, akan ditampilkan," tambah Brooker.




Editor: Nafis Abdullah