Manny Pacquiao merampas gelaran juara welterweight dunia WBA selepas kemenangan knockout pusingan ketujuh ke atas juara bertahan, Lucas Matthysse, di Kuala Lumpur, hari ini.

Peninju legenda Filipina berusia 39 tahun itu, yang bertarung buat kali pertama sejak kekalahannya kepada Jeff Horn pada Julai tahun lalu, mendominasi pertarungan yang berlangsung di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil itu.

Pacquiao mengawal pertarungan dari mula berdepan Matthysse dan kemenangan dengan keputusan KO itu adalah yang pertama buatnya sejak 2009.

Peninju Filipina itu menumbangkan Matthysse dengan tumbukan ‘uppercut’ tangan kiri dalam pusingan ketiga dan mengulanginya sekali lagi dalam pusingan kelima.

Satu lagi tumbukan padu tangan kiri dalam pusingan ketujuh mendorong pengadil, Kenny Bayless, memberhentikan pertarungan untuk Pacquiao (60-7-2, 39 KO) meraih tali pinggang juara.

Turut menyaksikan pertarungan itu ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Buat Matthysse atau 'The Machine', yang memiliki rekod 39 kemenangan dan lima kekalahan, ia adalah kekalahan pertama peninju Argentina berusia 35 tahun itu sejak 2015.