Bintang tinju Filipina, Manny Pacquiao, merancang untuk membuka akademi di Malaysia selepas merampas tali pinggang welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) menewaskan peninju Argentina, Lucas Matthysse, menerusi TKO hari ini.

Pacquiao membuktikan dia masih lagi berbisa walaupun selepas kembali daripada persaraan dan peninju berusia 39 tahun itu menumbangkan lawan dalam pusingan ketiga dan kelima sebelum pengadil menghentikan pertarungan tatkala Matthysse tumbang ketika pusingan ketujuh.

Ternyata sokongan padu penyokong di Arena Axiata, Bukit Jalil membakar semangat Pacquiao, sekali gus membuatkannya merancang untuk membuka akademi di negara ini.

"Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri Malaysia dan saya akan dermakan kelengkapan yang saya gunakan untuk tujuan mempromosi serta membantu sukan tinju di sini," katanya.

Dalam masa sama, kejayaan Pacquiao menjadi pembakar semangat buat peninju negara, Aiman Abu Bakar.

Dia turut meraih kemenangan TKO dalam pusingan keempat ke atas peninju Indonesia, Pratu Abdi, selepas lawan itu tumbang buat kali ketiga, membolehkan rekod Aiman diteruskan kepada lapan kemenangan tanpa sebarang kekalahan.

"Pertarungan ini adalah batu loncatan untuk saya menuju ke pentas lebih besar, melakukan penampilan semula selepas empat tahun tiada di sini serta mendapatkan peminat di sini.

"Sasaran kami juga sudah tentu Las Vegas, Amerika Syarikat," tambah Aiman.

Sementara itu, seorang lagi peninju negara, Theena Thayalan, mengelak kekalahan sulung dalam karier apabila menahan kesakitan pada bahagian bahu sejak pusingan pertama untuk meraih keputusan seri menentang Siddarth Ravind Varma dari India dalam kategori welterweight.

"Sehingga pusingan terakhir, saya berpegang pada nama negara yang saya bawa. Dalam masa sama, persiapan selama tiga bulan tidak boleh dipersiakan, jadi jika tidak mendapat kemenangan, saya mahukan keputusan seri," ujar Theena.