Setelah sembilan bulan ditutup, Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, yang menjadi venue latihan skuad kebangsaan serta penganjuran pelbagai kejohanan menembak, kembali beroperasi seperti biasa.

Ini memberi kelegaan kepada penembak negara yang sebelum ini terpaksa menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil yang agak kecil dan tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan.

Lebih menggembirakan, pembukaan semula Lapang Sasar Menembak Kebangsaan itu bermakna akan adanya kembali penganjuran kejohanan-kejohanan menembak yang boleh disertai penembak negara sebagai medan menguji prestasi mereka.

Atlet menembak kebangsaan, Muhammad Ezuan Nasir Khan, mengakui agak terjejas apabila venue latihan dan kejohanan di Subang itu ditutup dan sukar untuk menilai prestasi sendiri tanpa menyertai mana-mana kejohanan.

Katanya, untuk acara menembak, atlet perlu menyertai kejohanan setiap bulan untuk memperbaiki hasil bidikan di samping memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa.

“Sepanjang Lapang Sasar itu ditutup, pemilihan untuk ke kejohanan besar hanya dilakukan menerusi prestasi ketika latihan. Ia agak sukar bila kita tidak ada pertandingan, tidak dapat bersaing, tidak dapat membandingkan prestasi dengan baik.

“Ia memang memberi kesan kepada kami atlet menembak. Saya lega apabila venue ini dibuka kembali dan sekali gus ada kejohanan menembak yang akan diadakan semula. Ini akan membantu persiapan saya untuk ke Sukan SEA dan Kejohanan Menembak Asia kelak,” katanya.

Anggota Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Datuk Musa Omar, mengesahkan Lapang Sasar Subang mendapat lampu hijau untuk kembali beroperasi selepas ditutup sembilan bulan ekoran kes jenayah.

Menurut Musa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi lampu hijau untuk Lapang Sasar Subang beroperasi selepas lulus empat siri pemeriksaan.

“Dua hari lepas, kami dapat surat daripada Ketua Polis Negeri Selangor menyatakan bahawa Lapang Sasar Subang sudah boleh digunakan selepas sembilan bulan ditutup ekoran insiden tidak diingini berlaku sebelum ini.

“Lepas kejadian itu, polis menyarankan agar NSAM menaik taraf sistem keselamatan venue seperti membina pagar dan sistem keluar masuk menggunakan kad. Selain itu, ahli dan penembak perlu melaporkan diri dahulu sebelum dibenarkan menembak di sini,” katanya.

Venue latihan skuad kebangsaan ini ditutup September tahun lalu selepas seorang remaja membunuh diri menggunakan senjata api.

Sepanjang penutupan Lapang Sasar Subang, penembak acara pistol dan rifle berlatih di Bukit Jalil sementara penembak shotgun terpaksa memilih sama ada di Johor atau Pulau Pinang.

Selepas dibuka semula, Lapang Sasar Menembak Subang akan digunakan untuk Kejohanan Menembak Selangor bulan depan.

-- BERNAMA