Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, berpandangan sudah tiba waktu untuk badan induk itu tidak lagi berkompromi dengan jaguh karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, jika serius mahu melahirkan atlet yang berupaya untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik.

Mazlan berasakan isu membabitkan kemelut disiplin Syakilla itu sebagai sudah keterlaluan.

Sejak Julai lalu, tiada sebarang perubahan ketara mengenai isu berat badan serta komitmen dalam latihan yang membelenggu jaguh negara itu.

Ia semakin meruncing selepas sokongan dan pemantauan istimewa yang diberikan Institut Sukan Negara (ISN).

Perkembangan terkini menyaksikan bekas pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 itu merayu agar diberikan peluang untuk menebus kesilapannya di samping mengemukakan beberapa tuntutan peribadi supaya dapat kembali ke prestasi sebenar.

"Kalau saya masih menjadi ketua pengarah MSN dan berlaku perkara seperti itu, atlet seperti itu akan digugurkan daripada program.

"Kalau kita biarkan ia berterusan, ia tidak akan menunjukkan satu contoh yang baik, membuang masa dengan sia-sia dan tiada hasil.

"Kita bukannya berurusan dengan atlet yang mempunyai harapan untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik," katanya.

Mazlan pada masa sama berpendapat MSN dan persatuan sukan tidak perlu gentar untuk memandang kepada bakat yang dimiliki atlet muda.

Baginya, Malaysia perlu akur akan peluang tipis untuk membawa pulang pingat emas daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Pada ketika ini, saya tidak nampak seorangpun atlet yang mampu membawa pulang pingat emas dari Tokyo.

"Jadi, kita perlu menumpukan kepada sukan-sukan lain dan dan bersedia untuk Sukan Olimpik 2024," tambahnya.