Majlis Sukan Negara (MSN) berpuas hati dengan pencapaian skuad gimnastik artistik dalam Sukan SEA Filipina 2019, sekali gus meluluskan empat kejohanan di luar negara sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu dinyatakan dalam mesyuarat post mortem temasya dwitahunan itu hari ini dan dianggap sebagai ganjaran buat skuad gimnastik yang berjaya memperoleh empat pingat emas di Filipina bulan lalu.

Jurulatih gimnastik negara, Nataliya Sinkova, berharap langkah persiapan awal mampu membantu wakil tunggal negara, Farah Ann Abdul Hadi, memberi cabaran di Tokyo, Julai depan.

"Mereka telah bersetuju dan meluluskan empat kejohanan yang bakal dihadapi atlet negara bagi tahun ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik," katanya.

Jurulatih berasal dari Ukraine itu belum berpuas hati dan berhasrat untuk menambah bilangan atlet ke Tokyo, termasuk Tracey Ang dan Tan Ing Yueh.

"Sebelum ini sekadar impian tetapi kali ini kami percaya mampu melakukannya. Saya yakin atlet-atlet Malaysia mampu cemerlang di pentas yang lebih tinggi."

Sementara itu, ketua jurulatih pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah, akur dengan kegagalan dalam temasya dwitahunan itu dan memberi alasan ia berpunca daripada keadaan cuaca yang teruk.

Tambahnya, skuad pelayaran kini memerlukan peralatan baru yang dilengkapi teknologi terkini supaya dapat memberi kelebihan buat mereka.

"Kami telah meminta peralatan yang lebih canggih. Teknologi semakin maju ke hadapan bagi meramal tiupan angin serta kelajuan arus laut," katanya.



Editor: Ammar Hakim