MOM perlu cari timbalan CDM baru

Oleh Staff Writer 21 Mei 2018 1727
MOM perlu cari timbalan CDM baru
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terpaksa mencari timbalan chef-de-mission (CDM) Sukan Asia Indonesia yang baru selepas Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, meletakkan jawatan.

Megat meletak jawatan selepas tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden MOM, tiga minggu lalu.

Ini bermakna MOM perlu mencari pengganti selepas seorang lagi timbalan CDM, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut meletakkan jawatan lebih awal.

Sekurang-kurangnya dua individu sudah dikenal pasti sebagai calon, namun MOM masih lagi membuka cadangan kepada persatuan sukan kebangsaan untuk menghantar calon mereka.

"Jika dilihat kriteria CDM, proses pemilihan dulu lebih senang dan dibuat hampir serta-merta.

"Oleh itu, kami akan berbincang dengan Azim memandangkan sudah mempunyai beberapa calon nama.

"Kami mahu proses ini dilakukan dengan teliti," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

CDM Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, masih lagi komited dengan tugasnya.

Sementara itu, MOM memiliki perancangan untuk merendahkan had kelayakan Sukan Asia Indonesia berbanding tangga keenam temasya Incheon 2014.

"Kami mungkin akan lebih berlembut dari segi penyertaan atlet sebab kami menginginkan penyertaan yang bagus. Ini peluang terbaik atlet negara untuk menunjukkan prestasi yang boleh membawa kemenangan medal. 

"Jadi, kami bersikap lebih terbuka untuk membawa atlet-atlet ini di bawah kategori 'B'," tambahnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment