Bekas presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, mengharapkan sokongan berterusan dapat diberikan kepada Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi selaku timbalan presiden MOM walaupun sudah tidak lagi memegang jawatan sebagai pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).

Tunku Imran tidak menolak berasa terkejut pada mulanya sewaktu Abdul Azim ditamatkan perkhidmatan selaku pengerusi ISN yang berkuat kuasa serta-merta, Isnin lalu.

Namun, beliau berharap Abdul Azim akan terus positif dalam menabur bakti dalam MOM pula selaku timbalan presiden untuk terus membuktikan kredibilitinya menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik, apatah lagi selepas turut dilantik sebagai chef-de-mission (CDM) ke Sukan Asia 2018.

"Dia masih merupakan timbalan presiden MOM dan CDM Sukan Asia. Kita perlu memberi sokongan terhadap usahanya kerana dia berkhidmat untuk negara dan sukan Malaysia," ujar Tunku Imran.

Berhubung insiden tiada satu pun wakil MOM hadir ke majlis undian Sukan Asia di Indonesia tempoh hari, Tunku Imran menasihatkan agar mereka lebih peka dengan situasi sebegini dan tidak rugi sekiranya hadir ke majlis sedemikian yang merupakan peluang menjalin hubungan lebih erat dengan badan induk lain.

"Perkara utama, mereka perlu mengenali individu yang berkaitan di peringkat antarabangsa untuk membina hubungan di antara MOM, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) atau Persekutuan Sukan Komanwel.

"Apabila anda menghadiri mesyuarat di peringkat antarabangsa, adalah penting untuk mengenali dan menjalin hubungan dengan mereka kerana pada penghujungnya, merekalah yang akan membantu anda," tambah Tunku Imran.