MMA: Colleen buru gelaran dunia

Oleh Staff Writer 8 November 2019 87
MMA: Colleen buru gelaran dunia
Atlet seni bela diri campuran (MMA) negara, Colleen Augustin, sedia mengegarkan pentas dunia dalam Kejohanan Dunia IMMAF di Manama, Bahrain dari 10 hingga 16 Disember ini.

Colleen mula memahat nama apabila menewaskan Nurzhamal Sadykova dari Kazakhstan untuk menjuarai kategori 52.2 kilogram dalam Kejohanan Asia IMMAF, Mei lalu.

Ia membuatkan semangat atlet berusia 21 tahun itu semakin berkobar-kobar untuk merangkul gelaran  dunia pertamanya.

"Jika anda hendak bergusti, saya boleh bergusti dengan anda.

"Jika anda mahu menggunakan jiujitsu, saya juga boleh menggunakannya.

"Jika anda mahu menyerang saya, saya akan berdiri dan menyerang anda.

"Ia memberikan saya sedikit kelebihan.

"Saya berasa amat selamat dan yakin kerana tidak kira arah mana pertarungan itu pergi, saya tahu apa yang saya mahukan, anda perlu mengikut cara saya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seni Bela Diri Campuran Malaysia, Rashid Salleh, optimis atlet negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat daripada Kejohanan Dunia.

Selain Colleen, Malaysia akan turut diwakili  Brandon Tang (kategori lelaki 52.2kg) dan  Jay Chong (junior 83.9kg).

"Kazakhstan merupakan pasukan terkuat dalam Kejohanan Dunia dan kedua-dua atlet mereka sebelum ini tewas kepada Colleen.

"Mereka kenal Colleen tetapi atlet dari negara lain mungkin belum lagi.

"Daripada segi sasaran pingat, saya rasa ia mungkin daripada Colleen," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment