Jurulatih olahraga kelahiran Amerika Syarikat, Dwayne Miller, telah tiba di Malaysia untuk menggalas tugas lebih besar dan bakal memulakan khidmatnya Isnin ini.

Miller menandatangani kontrak sebagai pengarah teknikal olahraga negara, sekali gus satu peranan berbeza dengan perancangan awal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melantiknya sebagai jurulatih acara pecut untuk membantu barisan jurulatih tempatan seperti Mohd Poad Kassim dan M. Balamurugan.

"Saya di sini untuk mencipta perbezaan dalam program serta apa sahaja yang mereka perlukan daripada saya. Saya mahu bekerjasama dengan atlet Malaysia dan mendapatkan hasil terbaik," katanya.

"Majlis Sukan Negara (MSN) mahu dia menjadi pengarah teknikal dan bagi saya, ia bagus. Kami bersetuju. Sepatutnya kami fikirkan tentang Sukan SEA yang akan datang, kemudian baru lihat rancangan seterusnya," tambah Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Sementara itu, atlet boling tenpin wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, memburu pingat sulung dalam Kejohanan Asia di Kuwait untuk dijadikan sandaran ke temasya Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Dia bertekad memanfaatkan peluang dalam saingan di Kuwait itu sebagai medium terbaik untuk mengikut langkah Sin Li Jane yang berjaya menempah slot ke Filipina, sekali gus mengisi salah satu daripada baki tiga lagi slot yang menjadi rebutan skuad wanita negara.

Afifah lebih bersedia untuk saingan kali ini selepas mengenal pasti punca tewas ketika Kejohanan Dunia, Ogos lalu.

"Kejohanan Asia adalah saingan terpenting selepas Kejohanan Dunia kerana kami gagal mendapatkan pingat ketika di Las Vegas. Ini masanya untuk kami buktikan kepada semua kerana tahun ini, sukan ini agak senyap," katanya.

"Dalam kejohanan Dunia, ada sedikit salah faham daripada segi teknik. Kami berlatih dengan sasaran lain sehingga membuatkan kami agak perlahan bila sampai di sini."

Bagi skuad floorball negara, ketua jurulatih, Rizal Razman, melaungkan keyakinan mampu mencapai sasaaran sekurang-kurangnya pingat gangsa apabila Majlis Sukan Negara (MSN) membantu menyediakan tempat latihan dan kemudahan.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan kekuatan Filipina apabila menyenaraikan pemain baru dengan menggunakan pemain naturalisasi dalam edisi kali ini.