Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017 (MASOC) kini berada di landasan yang tepat untuk mengumpul dana tajaan sebanyak RM80 juta seperti yang disasarkan selepas berjaya meraih jumlah tajaan sebanyak RM56.7 juta.

Jumlah tajaan yang dikumpul setakat ini diumumkan sendiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, ketika menerima tajaan jenama sukan antarabangsa, Football Thai Factory Sporting Goods Co Ltd (FBT) selaku penaja platinum Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 pada Selasa.

Sejumlah RM56.7 juta itu merangkumi tajaan wang tunai RM14.7 juta dan tajaan barangan bernilai RM42 juta.

Khairy mengakui MASOC kini lebih memerlukan tajaan wang ringgit bagi meraih baki RM23.3 juta untuk melengkapkan RM80 juta seperti yang disasarkan.

“Kami masih memerlukan tajaan untuk wang ringgit dan barangan, terutama sekali tajaan yang berbentuk tunai,” jelas Khairy.

Dalam pada itu, Khairy turut mengumumkan tajaan platinum FBT bernilai RM7.5 juta dalam bentuk pakaian dan peralatan sukan untuk penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan ia akan dipakai lebih 20 ribu sukarelawan serta pegawai teknikal temasya itu.

FBT turut mendapat kepercayaan Kementerian Belia dan Sukan kerana kemampuannya memenuhi permintaan MASOC serta rekod cemerlang jenama itu dalam penganjuran temasya Sukan SEA sebelum ini.

"FBT mempunyai rekod yang baik sepanjang pembabitan mereka dalam Sukan SEA sejak 1980-an lagi, mereka memiliki kualiti sekaligus ia memberikan keyakinan kepada kami.”

Hanya tinggal 275 hari sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur akan bermula, persediaan mantap perlu dilakukan oleh Malaysia selaku penganjur dan para atlet untuk memastikan hasrat menjulang kejuaraan tercapai selepas kali terakhir pada 2001, juga ketika menjadi penganjur kejohanan.