Dua persatuan sukan kebangsaan dilanda gelora tujuh bulan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, terutama dengan tindakan Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Pang Siew Huat, meletak jawatan gara-gara masalah dalaman.

Ia sesuatu yang mengecewakan melihat persatuan sukan kebangsaan dilanda masalah ketika tumpuan sepatutnya diberikan untuk membantu Malaysia muncul juara keseluruhan.

Tindakan Siew Huat mengejutkan, apatah lagi beliau seorang pegawai berkaliber, terutama selepas menyelesaikan isu doping tiga atlet angkat berat kebangsaan tahun lalu.

Surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng, yang dijangka menjejaskan program latihan dan kejohanan atlet negara.

"Saya terpaksa meninggalkan jawatan ini dan membenarkan orang lain untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin," kata Siew Huat.

Sementara itu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) bergelora menjelang mesyuarat agung tahunan, Mac depan.

Terbaru, lima ahli gabungan berdepan penggantungan dan merancang bertemu pegawai Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Selasa ini, selepas enggan memberikan surat tunjuk sebab gagal menghadiri AGM, Ogos tahun lalu.

Mereka ialah dari Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

"Kami telah bersetuju dengan ahli gabungan persatuan untuk berjumpa dengan MOM esok dan meminta penjelasan agar dapat menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera," kata Presiden Persatuan Memanah Negeri Kedah, Datuk Abd Hamid Hassan.

Jadi, angkat berat dan memanah perlu menyelesaikan masalah ini atau ia akan menjejaskan misi Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur.