Chef-de-mission kontinjen negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Marina Chin, optimis skuad bola tampar mampu menamatkan kemarau pingat 15 tahun selepas kali terakhir mereka meraih pingat pada 2001.

Berbaki enam bulan menjelang Sukan SEA, Marina memberikan pujian kepada kontinjen negara dalam mempersiapkan diri meskipun telah berdepan pelbagai isu, termasuk penularan wabak denggi baru-baru ini.

Ini menunjukkan kematangan atlet dalam berdepan situasi tertentu dan tidak terkecuali skuad bola tampar yang bekerja keras dalam merealisasikan pungutan pingat tanpa mengira warna kali ini.

Marina yang ditemui dalam sesi lawatan ke venue latihan skuad ini turut terharu dengan kesanggupan pemain muda untuk menangguhkan sesi pengajian demi Sukan SEA.

"Pasukan bola tampar Malaysia membariskan pemain-pemain muda, mereka menampakkan semangat yang tinggi dan sangat komited bagi menghadapi Sukan SEA," katanya.

Ketua jurulatih, Tay Yeu Siong, tidak menganggapnya sebagai satu beban untuk melatih hampir keseluruhan pemain muda yang dipertaruhkan kerana positif anak buahnya mempunyai magis tersendiri untuk beraksi pada Ogos depan.

"Saya berharap dapat membawa pemain-pemain untuk meneruskan sesi latihan di Taiwan kerana mutu permainan mereka lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara di Asia Tenggara," ujarnya.