Kelibat pelumba terbaik Malaysia dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, Muhd Zawawi Azman, mungkin tidak akan menyertai saingan tahun ini apabila mempunyai tugasan penting di luar negara.

Sapura Cycling Team (TSC) berkemungkinan akan membentuk dua pasukan menghadapi dua saingan serentak awal bulan depan, iaitu Jelajah Jayco Herald Sun di Australia yang bermula 5 Februari di samping LTdL yang bermula dua hari kemudian.

Zawawi pula berada dalam dilema memandangkan perancangan awal pihak pengurusan ingin menghantarnya menyertai saingan di Australia itu.

Atlet berusia 25 tahun itu muncul pelumba terbaik tempatan dalam LTdL 2019 apabila menghabiskan saingan di tangga ke-26 keseluruhan.

"Sebagai pelumba profesional, saya sedia untuk beraksi di mana-mana yang telah dirancang oleh pasukan. Buat masa ini, saya memberikan tumpuan kepada saingan di Australia," katanya.

Turut tidak akan berada dalam senarai pelumba TSC kali ini adalah juara edisi lalu, Benjamin Dyball, yang beralih ke pasukan jelajah dunia, NTT Pro Cycling.

Bagaimanapun, TSC mendapatkan dua pelumba import baru, Pier Paolo Ficara dan Danilo Celano dari Itali dalam usaha mereka mengekalkan kejuaraan.

"TSC memberikan tumpuan kepada saingan LTdL tahun ini dan kehadiran dua pelumba dari Itali akan memastikan pasukan memberikan yang terbaik."



Editor: Ammar Hakim