Kemenangan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) hari ini memberikan motivasi tambahan buat pelumba Isowhey Sports Swisswellness, Scott Sunderland.

Ini merupakan penyertaan sulung pasukan dari Australia itu bagi saingan LTdL dan mereka tidak menunggu lama untuk memperoleh kemenangan jersi kuning menerusi Sunderland.

Lebih manis, Sunderland turut menguasai jersi raja pecut selepas mengumpul 15 mata.

Ketiadaan "Mr Langkawi" yang juga pemegang rekod 22 peringkat kemenangan, Andrea Guardini, sedikit menenggelami edisi kali ini dan Sunderland pastinya ingin mengecapi lebih banyak kemenangan selepas ini.

"Sangat menakjubkan. Sangat hebat berada di sini dan dapat memenangi perlumbaan pada hari pertama. Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada perlumbaan seterusnya," katanya.

Peringkat pertama LTdL menyaksikan Sunderland mendominasi jersi kuning dan biru sementara pelumba negara dari Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, dinobatkan raja bukit.

Ia bermula dari Kuala Berang menuju ke Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu, membabitkan jarak sejauh 124.8km.

Peringkat kedua LTdL esok menyaksikan jarak sejauh 208.1km dari Jerteh ke Gerik. Peringkat itu juga menyaksikan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian.